Ruqyah Syar'iyyah Sibu

Bismillahirrahmanirrahim.....
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh....

Sahabat Peruqyah yang dikasihi sekalian,
Allah swt menyuruh setiap hambaNya agar senantiasa berdoa, memohon kepadaNya dan InsyaAllah... Allah akan memperkenankannya. Samada diberi dengan cepat atau lambat. Diberi ketika seseorang itu hidup di dunia ataupun di akhirat kelak. Jelas di sini bahawa bukan sesuatu yang mustahil doa-doa yang dibaca oleh seseorang itu boleh menyebabkan sakit yang dideritai oleh seseorang itu sembuh dengan izin Allah, biar betapa berat derita yang dialami atau besar masalah yang ditanggung oleh seseorang.

Sahabat Peruqyah,
Doa-doa yang dibaca hakikatnya bukan, merupakan faktor utama kesembuhan. Dua orang yang cuba merawat pesakit dengan menggunakan bacaan Surah Al Fatihah ataupun lain-lain doa, tidak semestinya melahirkan natijah yang sama. Mungkin salah seorang daripada pesakit akan sembuh ataupun semakin teruk, padahal doa yang dibaca adalah sama. Hal demikian membuktikan bahawa doa-doa yang dituturkan hanya merupakan salah satu rawatan ataupun usaha memperoleh kesembuhan. Kesembuhan yang sebenar ialah kemakbulan daripada Allah iaitu apabila doa-doa yang dibaca itu dikabulkan.

Sahabat Peruqyah yang dikasihi Allah,
Kemakbulan ataupun kemustajaban doa yang dibaca pula berkait rapat dengan taraf ataupun kualiti diri seseorang di sisi Allah. Semakin hampir seseorang itu kepada Allah, maka semakin mudahlah doa-doa yang dipohon itu dikabulkan. Orang yang hampir kepada Allah ialah mereka yang bersifat warak, zuhud dan bertaqwa. Apabila seseorang hamba itu hampir kepada Allah, maka Allah akan mengasihinya.

Sahabat Peruqyah yang dicintai,
Sebagai penutup, ingin saya jelaskan disini bahawa orang-orang yang dikasihi Allah ialah mereka yang melakukan amalan-amalan yang difardhukan juga amalan sunat secara terus-menerus. Allah akan memberi kekuatan dan memperkenankan doa-doa andainya ia memohon dan melindunginya apabila ia berbuat demikian.

Wallahu'alam......

Post a Comment